Wadah Muslimah Melayu

Monday, August 07, 2006

Kecil anak besar onak

Assalamualaikum

Pagi ini agak berat nak bangun, semalam tidur lambat. Selesaikan bacaan bab kedua buku Halal Haram terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Tapi kalau seorang emak susah nak bangun, anak apatah lagi. Saya gagahkan diri menentang rasa mengantuk dan terus kejutkan anak-anak. Macam-macam ragam yang terbit di pagi hari. Namun seorang emak mesti sentiasa bersabar. Yang paling kecil, Fatihah, minta didukung ke bilik air sambil merengek minta jangan dibasuh mukanya kerana dia akan sambung tidur lagi selepas mandi. Basahkan badan sahaja! Yang sulung, Fadhli, selsema dan batuk jadi merenung saya penuh harapan meraih simpati penuh makna. Namun saya dengan lemah lembut memujuknya supaya mandi dan bersiap sedia ke sekolah. Yang kedua, Farhan, selepas mandi mengelirukan saya dengan susunan jadual waktunya hari ini.
"Mama, hari ni mama ikut jadual hari apa?"
"Selasalah, kenapa?"
"Nanti mama ikut jadual hari Jumaat!"
"Tapi hari ni hari Selasa, kenalah ikut jadual hari Selasa"
"Nanti ada buku mama tak masukkan dalam beg!"
"Kalau ikut betul-betul jadual tu, adalah semua buku"
"Tapi nanti mama masukkan buku lain"
"Takkk...mama ikut jadual!"
"Bila cuti panjang?" Dia mengakhiri perbualan penuh rengekan dengan persoalan yang saya dah agak dalam hati. Saya teringat tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad dalam bukunya, "Perjalananku sejauh ini: Sebuah Autobiografi".
"...belajar dalam darjah satu dengan hati yang amat berat kerana memang aku tidak gemar bersekolah...Aku merasakan satu kerugian besar bila setiap pagi terpaksa bangun awal, berpakaian kemas dan berjalan terus ke sekolah..." antara bingkisan Shahnon Ahmad.
Nampaknya Shahnon Ahmad juga tidak suka ke sekolah.
Putera saya yang ketiga tidak susah mengurusnya. Fahim tak pernah merengek. Tapi selepas siap berpakaian, sempat dia menutup sebentar matanya dan dalam sebentar itu, terdengar keruhan tanda lena!
Kerenah anak yang pelbagai di pagi hari kadang-kadang menguji ketabahan seorang emak. Dalam mengurus anak, sempatlah memanjatkan doa agar anak-anak ini biar susah diurus semasa masih kecil, namun apabila besar harapnya tidaklah menyesakkan dada! Janganlah menjadi onak wahai anak-anak mama.
Harapan semua yang bergelar emak ialah anak-anak dapat pendidikan yang sempurna yang dapat membantu mereka menjadi manusia yang berguna.
Apa guna memakai kasut
Dilangkah akan betis diri
Apa guna ilmu dituntut
Kalau tidak membantu diri

2 Comments:

At 6:02 AM, Blogger hakim dirani said...

assalamualaikum.

saya seronok mendengar cerita emak dan anak. saya tiba tiba rindu kepada emak dan abah kat kampung.

 
At 4:53 AM, Blogger Noraini Ismail said...

Walaikumsalam hakim

Apabila bercerita tentang anak2, memang rasa seronok kerana mereka insan yang suci dan innocent.

Kesian Hakim...adatlah tu, bila berjauhan dengan insan tersayang, rindu pun menguasai hati dan perasaan.

Sabarle yee

 

Post a Comment

<< Home