Wadah Muslimah Melayu

Thursday, October 12, 2006

Biar titik jangan tumpah

Salam

Kesibukan harian sebagai pekerja dan pelajar separuh masa membuatkan blog ni jarang dikemas kini. Ada saja tuntutan itu ini yang mengekang saya dari menulis. Kerja di pejabat yang tak surut-surut malah semakin sibuk menjelang peperiksaan akhir, tugasan master yang menuntut pembacaan yang bukan sedikit, kerenah dan ragam masam manis kelat anak-anak yang masih kecil menjadikan saya hamba Allah yang merasakan 24 jam sehari tidak mencukupi. Tapi yang anehnya, tidur dapat juga 5-6 jam sehari....Saya memang antara manusia yang perlukan tidur yang cukup...walaupun diselubungi kesibukan.

Bulan Ramadan kali ini menambahkan kesibukan. Kesibukan dunia tak payahlah diceritakan lagi..Ramadan menjanjikan keberkatan..Untuk mencari keberkatan, solat tarawikh, Al-Quran dan tadarus menjadi sebahagian dari kesibukan agenda harian.Insyallah Ramadan kali ini, khatam Quran lagi.

Anak-anak juga turut menyibukkan jadual seharian. Melatih Fadhli, Farhan, Fahim dan Fatihah berpuasa menjadikan saya ibu yang paling lemah lembut. Menyedari tahap kelaparan dan kedahagaan anak-anak menjelang petang, saya sedaya upaya memujuk, membelai, merayu dengan kata-kata manis "Allah sangat sayang orang yang berpuasa..", "Allah suka budak kecil yang berpuasa..", "Allah dah sediakan syurga bagi budak kecil yang berpuasa.." Nampaknya rayuan dan pujukan saya berjaya mengekalkan puasa anak-anak hingga ke Maghrib. Tapi Fahim dan Fatihah ada juga berpuasa setengah hari sebab tak tahan godaan air kotak dan biskut tiger yang dibekalkan guru tadika di sekolah...

Anak-anak sebenarnya mudah dilentur semasa masih kecil. Berpuasa contohnya. Saya berpuas hati kerana Fatihah sekecil 5 tahun sudah 10 hari dapat berpuasa. Jadi dia sudah boleh mengerti erti berpuasa, apa rasanya berpuasa, doa berpuasa, waktu imsak, waktu berbuka, tegahan sewaktu berpuasa. Walaupun tidak dapat puasa penuh sepanjang Ramadan, setidak-tidaknya dia sudah mengalami satu keadaan yang dipanggil puasa. Biar titik jangan tumpah!

Dan sayapun rasa puas hati hari ini kerana setelah sekian lama tidak menulis di blog, akhirnya dapat juga mencoret sesuatu. Tak lama lagi saya sendiri akan menghadapi peperiksaan akhir..alahai..setelah sekian lama tak diterjah rasa gabra, kali ini selepas hari raya, perasaan yang telah saya tinggalkan 10 tahun sudah akan kembali menjenguk..Hmmm..lama lagi le blog ni nak dikemas kini pulak...

Semoga Ramadan kali ini, walau dihujani titis-titis kesibukan, tetap memberikan keberkatan hidup, keberkatan ilmu dan kemanisan pengalaman dan rezeki yang berpanjangan

Cari galah kayu di hutan
Singgah menetak cendana gaharu
Minta doa mudah-mudahan
Boleh rezeki datang selalu

1 Comments:

At 12:30 PM, Blogger Nazhatulshima N said...

Sangat memahami keadaan yang dilalui,teruskan tekad untuk menjadi pelajar,pekerja,ibu dan isteri yang berjaya dan diredhai.

 

Post a Comment

<< Home