Wadah Muslimah Melayu

Tuesday, February 06, 2007

Alah bisa Tegal biasa

5 Februari 2007, bermulalah kehidupan saya tanpa seorang pembantu setia...Sebulan sebelum Fahim lahir, suami sudah menyediakan pembantu buat saya..mungkin kerana suami amat arif dengan 'kelembapan' saya membuat kerja-kerja rumah. Saya lebih suka membaca, membaca dan membaca. Sekarang Fahim dah berusia 7 tahun, maka selama 7 tahun itulah saya sudah dibiasakan dengan kehadiran pembantu rumah. Tiga pembantu rumah Indonesia untuk tempoh 7 tahun...Alhamdulillah semua pembantu saya memang banyak membantu dan kurang kerenah tapi habis kontrak 2 tahun, masing2 nak balik kampung bawa duit berbelas juta rupiah.

4 Februari 2007, pulanglah pembantu yang ketiga bersama gajinya. Malamnya, saya terjaga 3 ke4 kali kerana terlalu memikirkan tentang kehidupan selepas ini yang pasti berubah dan menuntut komitmen yang bukan sedikit. Pukul 5 pagi, alarm handphone mudah membangunkan saya yang memang tak tidur lena. Terus turun ke tingkat bawah, basuh muka dan kedua tangan, minum segelas air, panaskan kuali, keluarkan bawang putih bawang merah yang telah siap dikisar, goreng dan pecahkan 2 biji telur, tambah garam dan masukkan nasi putih. Siap nasi goreng! Tadah air paip dalam cerek elektrik. Susun pinggan cawan sudu atas meja. Air dah masak. Bancuh milo kegemaran anak2. Naik tingkat atas, kejut Fadhli, Farhan, Fahim, Fatihah. Liatnya anak2 mama nak bangun pagi. Kena pastikan mereka betul-betul mandi dalam bilik air atau mereka cuma berdiri tegak dan terus menutup mata, sambung tidur. Semua selesai mandi dalam 30 minit. Bersiap, lumurkankan minyak zaitun safi pada rambut anak2 lelaki, sikat, ikat rambut Fatihah. Fatihah tak nak pakai tudung lagi. 'Kakak nak pakai tudung bila solat dan hari raya aje' tegasnya. Tak apa, tapi bila dah sampai masa nanti, mama pula akan bertegas dengan kakak. Anak2 solat subuh, pakai stokin, turun tingkat bawah dan mengadap sarapan. Saya pula solat namun doa pendek. Semput juga uruskan anak2 ni...

6.50 am, memandu ke sekolah. Udara Segamat masih dingin namun kesemputan sebelumnya telah menghangatkan badan.

7.25 am, sampai ke kampus. Hantar Fatihah ke Tadika Kemas dulu. Kalau sampai awal, bacakan Fatihah sebuah dua buku cerita.

7.55 am, masuk kelas, mengajar dari 8 am hingga 9.50 am. Balik pejabat. Kemaskinikan diari dan kerja-kerja pejabat yang belum siap. Bila otak dah letih berfikir dan ingin berehat sebentar, layari laman sawang sasterawan2 Malaysia.

12.30 pm, ambil fatihah di tadika, terus ke Segamat, ambil adik, Nurul yang mula bersekolah tingkatan 5 di sini. Sejak abah pergi tiada siapa yang memantau pelajarannya. Pujuk mak benarkan Nurul belajar di Segamat, alhamdulillah, setelah mak berfikir panjang, dapat lampu hijau.

1.20 pm, ambil anak2 pula. hantar ke rumah, solat zuhur dan ke kampus semula. Mak dah siapkan masakan tengahari. Tapi 19 Feb nanti, mak akan pulang semula ke Serendah. Kenalah saya fikirkan samada nak beli atau siap2 masak lauk semasa sediakan sarapan. Beli je kot!!! Ada kelas petang 2 hingga 4 pm. Usai kelas, tunggu masuk waktu asar, solat dan punch out.

5 pm, aduh pening kepala tengok rumah tak seperti biasa, agak bersepah. Anak2 buat kerja sekolah dan tinggal buku sana sini. Kertas dikoyak, dibuat wau, kapal layar, pistol dan dibiar sahaja. Masing2 naik atas, tunggu cerita nabila tv9, dekat di hati. Saya panaskan lauk dan bancuh milo dan teh. Pisang goreng dan karipap yang dibeli sebelum balik tadi, dihidangkan atas meja dapur. Lipat kain dan susun. Mandi dan bersiap sedia untuk solat Maghrib.

7.50 pm, ajak anak2 makan. Selesai setengah jam kemudian dan tunggu pula solat isyak sambil menonton berita tv3. selesai isya', gosok baju anak2, suami dan baju sendiri sambil kepala memikirkan tentang menu sarapan esok pagi. Ke dapur, keluarkan daging dan ayam dari peti sejuk, kisar cili kering dan rendam mihun.

10 pm, baru rasa lega sikit, tapi bila kenangkan tugasan master yang belum disentuh langsung, kepala yang agak lega tadi terasa berat semula. Dr Juhana dah bagi tugasan. En Rizal asyik sebut dua tiga isu terkini tentang teknologi maklumat. Alamak, quiz 1 untuk pelajar belum hantar fotostet lagi!! Soalan2 untuk ujian pun belum sempat deraf lagi...

12 am, mata dah tak larat nak buka, pinggang pun dah lenguh..badan minta dibaringkan atas tilam fiber yang empuk. Bantal kekabu kiriman mak mertua bagai melambai2, selimut tebal ala hotel menyelubungi minda. Apa lagi tidurlah..sebelum tu jangan lupa set alarm pukul 5 am....

Pucuk paku si pucuk ubi
Pekasam goreng ditabur cili
Walau berat tugas dihadapi
Pada Allah doa diberi

3 Comments:

At 9:49 PM, Blogger Unknown said...

salam, ani teruskan usaha dan jangan putus semangat. Kak lin tahu pastinya sukar menyempurnakan amanah sebagai isteri, ibu, pensyarah dan pelajar.

 
At 9:51 PM, Blogger Unknown said...

salam, ani awatlah kena daftar dulu baru boleh tinggalkan komen. kaklin ni tak ada blog, setakat suka2 nak sembang2 'virtual'. Terpaksa mendafatar!

 
At 2:58 AM, Blogger Nizam Awang said...

Cabaran hidup memang berbeza bagi setiap orang. Mungkin bagi yang sudah berumahtangga. Harap tidak dijadikan alasan berumahtangga dalam mendepani kejayaan. Semoga kita beringat-ingat bahawa di kala kita kekalutan saban hari, ada lagi insan yang lebih tercabar jiwanya. Namun, mereka masih tetap utuh di landasan dan mengejar apa yang diingini. Sepertimana yang saya pernah ungkapkan pada Kak Ani tiga tahun lepas, kena siapkan sarjana walaupun apapun yang mendatang. Lambat atau cepat bukanlah dipersoalkan sangat. Tetapi janganlah terlalu lambat kerana dalam kerjaya kita ada perancangan jangka panjang dan impian. Perjalanan hidupmasih panjang, usia bukan penghalang. Selamat berjaya dan terus maju!
Salam.

 

Post a Comment

<< Home