Wadah Muslimah Melayu

Sunday, August 13, 2006

Hendak terbang tiada bersayap

Salam

Sebagai manusia, saya juga sukakan hiburan. Juga meminati penyanyi tempatan. Namun, seingat saya, hanya kaset penyanyi Uji Rashid pernah dibeli. Uji mempunyai suara yang lemak merdu. Sendainya Uji mengalunkan ayat-ayat suci Al-Qur'an dengan lagu dan tajwid yang betul, pasti burung yang sedang terbang pun berhenti dan singgah di balik jendela mencuri dengar betapa mersiknya suara itu. Saya juga sukakan Siti Nurhaliza. Tapi itu dulu, sebelum rahsianya dengan Dato' K terbongkar. Entah kenapa, sejak TV3 beria-ia membuat liputan pengumuman khas Siti, saya hilang minat pada Siti(tak luakpun Siti walaupun hilang satu peminatnya). Saya jadi rimas dengan rancangan susulan secara langsung yang membongkar kisah cinta Siti. Yang pasti, saya sebenarnya, rimas dengan TV3 yang terlalu mempublisitikan cerita Siti. Bagi saya, sebagai TV no 1 Malaysia, TV3 mempunyai banyak lagi cerita yang perlu didedahkan kepada rakyat Malaysia, yang perlu disensasikan. Tapi apa boleh buat, TV3 gemar memburu perhatian penonton dengan cara begitu.
Media di Malaysia terlalu ghairah dengan tuntutan selera dunia. Sewaktu TV9 diperkenalkan, saya mulanya menarik nafas lega kerana melalui sedutan-sedutan tayangan pengenalan, banyak rancangan bercorak agama dihidangkan kepada penonton. Saluran itu khabarnya khusus untuk menarik penonton Melayu, saluran dekat di hati. Tetapi hakikatnya tidak. Sekadar Iqra, Halaqah dan Akademi Al-Quran(Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada juga), apalah bezanya saluran itu dengan saluran sedia ada? Rancangan kartun dari dunia Barat berpanjangan dan diulang tayang, menghiasi skrin TV.
Sepatutnya TV9 berperanan secara proaktif mendidik masyarakat Melayu ke arah mencintai akhirat. Cukuplah Tv3 dengan rancangan-rancangan dunianya.
Namun, apakan daya saya, hanya boleh mengeluarkan pendapat dan rasa tidak puas hati terhadap media tempatan. Untuk mengubahnya, tidak terdaya. Saya tidak bersayap dan tak boleh pergi jauh. Harapan saya, semoga ada antara anak-anak saya nanti menceburi bidang penerbitan. Semoga dia nanti sekaya Dato' K. Dengan duit yang banyak, bolehlah menerbitkan drama dan filem berunsur Islam atau dokumentari tentang dunia Islam dan dunia akhirat, semoga menjadi panduan kepada Muslimin dan Muslimat. Saya tidak boleh menafikan kepentingan tv sebagai medium dakwah yang berkesan pada masa kini. Insyallah, moga anak-anak mama dipanjangkan umur, diberi kecerdikan akal yang akan digunakan untuk kebaikan umat Islam.
Asam rumbia dibelah-belah
Buah separah dalam raga
Dunia ikut firman Allah
Akhirat juga mendapat syurga

Friday, August 11, 2006

Elok bahasa bekal hidup, elok budi bekal mati

Sebelum maghrib tadi saya menerima panggilan telefon dari bekas anak murid yang dah bergelar bapa, Salman. Dia membawa khabar gembira. Dia dan isterinya, Farah(juga bekas anak murid) akan berangkat ke Hungary pada 20hb Ogos ni...
"Membawa hati yang luka ke? Sampai tak sempat tunggu 21hb..." gurau saya.(Umum 'terlebih' dikhabarkan media mengenai perkahwinan Siti 21hb Ogos)
"Itulah sebenarnya Puan, merajuk dengan Siti!". Berbual dengan Salman kerap mengundang tawa berpanjangan. Salman periang orangnya. Budi bahasa dengan pensyarah-pensyarahnya dijaga. Pernah dia berkunjung ke rumah saya membawa buah-buahan dari kampung. Budi dan bahasanya tetap saya kenang selagi diberi nyawa. Saya tumpang seronok dan segera mendoakan mereka bahagia di rantau orang.
Mendapat panggilan telefon, menerima esemes atau menerima kiriman emel dari bekas pelajar sesungguhnya antara perkara yang menyeronokkan. Mendengar kejayaan, pengalaman, masalah mereka di tempat kerja atau di dalam rumahtangga, saya memanjatkan kesyukuran kerana masih bernyawa untuk berkongsi semua itu. Walaupun terkadang dihujani kesibukan, saya sedaya upaya terus berkomunikasi dengan mereka, cukuplah sekadar memberi pandangan, mengucap tahniah, berkongsi rasa sedih dan gembira, tanda kita tetap menghargai mereka. Tak luak apapun, malah memanjangkan lagi silaturrahim sesama manusia. Melayukan terkenal dengan budi bahasa!
Baru-baru ini saya mendapat esemes bekas pelajar yang dilanda masalah dengan suami.
"Puan, alhamdulillah, saya dan suami dah ok. Saya bersyukur mendengar nasihat Puan hari tu. Saya banyakkan sabar dan tak lari dari rumah. Saya layan dia macam biasa walau hati saya sakit dan jelek. Berkat doa-doa saya melembutkan hatinya". Saya membaca mesej itu dengan rasa lega. Rupanya dia mendengar nasihat saya supaya tidak terlalu berkeras dengan suami yang sedang mabuk dilanda asmara. Gunakan pendekatan yang berhikmah dan banyakkan solat hajat.
Berbalik pada Salman, saya sempat berpesan agar menjaga iman walau di mana dia berada. Semoga jatidiri Melayu Islam tidak akan hilang dari dirinya. Dia membalas, dengan berkat doa guru-guru, maka jadilah kami hamba Allah yang berjaya dunia akhirat. Saya tersenyum puas. Manis sungguh bahasanya. Moga jadi ingatan buat diri sendiri juga. Elok bahasa, elok budi, disayangi Ilahi. Sesungghnya agama Islam itu ialah agama yang boleh mencorakkan budi bahasa yang indah seindah pekerti Nabi Muhammad s.a.w.
Anak ayam turun lima
Satu mati tinggal empat
Minta mati dalam agama
Biarlah tulis jalan makrifat

Monday, August 07, 2006

Kecil anak besar onak

Assalamualaikum

Pagi ini agak berat nak bangun, semalam tidur lambat. Selesaikan bacaan bab kedua buku Halal Haram terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Tapi kalau seorang emak susah nak bangun, anak apatah lagi. Saya gagahkan diri menentang rasa mengantuk dan terus kejutkan anak-anak. Macam-macam ragam yang terbit di pagi hari. Namun seorang emak mesti sentiasa bersabar. Yang paling kecil, Fatihah, minta didukung ke bilik air sambil merengek minta jangan dibasuh mukanya kerana dia akan sambung tidur lagi selepas mandi. Basahkan badan sahaja! Yang sulung, Fadhli, selsema dan batuk jadi merenung saya penuh harapan meraih simpati penuh makna. Namun saya dengan lemah lembut memujuknya supaya mandi dan bersiap sedia ke sekolah. Yang kedua, Farhan, selepas mandi mengelirukan saya dengan susunan jadual waktunya hari ini.
"Mama, hari ni mama ikut jadual hari apa?"
"Selasalah, kenapa?"
"Nanti mama ikut jadual hari Jumaat!"
"Tapi hari ni hari Selasa, kenalah ikut jadual hari Selasa"
"Nanti ada buku mama tak masukkan dalam beg!"
"Kalau ikut betul-betul jadual tu, adalah semua buku"
"Tapi nanti mama masukkan buku lain"
"Takkk...mama ikut jadual!"
"Bila cuti panjang?" Dia mengakhiri perbualan penuh rengekan dengan persoalan yang saya dah agak dalam hati. Saya teringat tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad dalam bukunya, "Perjalananku sejauh ini: Sebuah Autobiografi".
"...belajar dalam darjah satu dengan hati yang amat berat kerana memang aku tidak gemar bersekolah...Aku merasakan satu kerugian besar bila setiap pagi terpaksa bangun awal, berpakaian kemas dan berjalan terus ke sekolah..." antara bingkisan Shahnon Ahmad.
Nampaknya Shahnon Ahmad juga tidak suka ke sekolah.
Putera saya yang ketiga tidak susah mengurusnya. Fahim tak pernah merengek. Tapi selepas siap berpakaian, sempat dia menutup sebentar matanya dan dalam sebentar itu, terdengar keruhan tanda lena!
Kerenah anak yang pelbagai di pagi hari kadang-kadang menguji ketabahan seorang emak. Dalam mengurus anak, sempatlah memanjatkan doa agar anak-anak ini biar susah diurus semasa masih kecil, namun apabila besar harapnya tidaklah menyesakkan dada! Janganlah menjadi onak wahai anak-anak mama.
Harapan semua yang bergelar emak ialah anak-anak dapat pendidikan yang sempurna yang dapat membantu mereka menjadi manusia yang berguna.
Apa guna memakai kasut
Dilangkah akan betis diri
Apa guna ilmu dituntut
Kalau tidak membantu diri

Rendah gunung tinggi harapan

Salam perkenalan dari saya, seorang Muslimah Melayu yang bercita-cita tinggi pada detik ini untuk menulis secara tekal walau arif dengan kelemahan diri...Nama saya Noraini Ismail, seorang pendidik anak bangsa. Sudah berumahtangga dan hidup bahagia dengan Shamsul Kamal bin Abdul Ghafar. Alhamdulillah, dikurniakan Allah empat orang cahaya mata; tiga putera dan seorang puteri. Untuk memulakan penulisan ini, saya mengambil masa yang amat panjang. Kurang yakin dengan diri sendiri! Walaupun saya mendapat A1 untuk matapelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu semasa SPM berbelas tahun sudah, namun kemahiran menulis dan merungkai niat di hati tidak lagi menjadi satu perkara yang mudah(saya terpaksa merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa peninggalan arwah abah untuk memastikan ejaan sesetengah perkataan). Saya jadi pengunjung setia blog sasterawan-sasterawan Malaysia, kagum dengan keindahan penulisan mereka dan berazam akan mempunyai blog sendiri. Hari ini, 8/8/2006, dengan rasminya saya menulis sesuatu di sini. Niat saya biarlah blog ini mendatangkan kebaikan buat diri sendiri dan menjadi wadah buat saya menyuarakan isi hati yang selama ini hanya dikongsi bersama suami dan beberapa teman rapat. Perkongsian suara hati saya diharap dapat memantapkan keimanan saya seorang Muslimah Melayu, melalui perbincangan yang sihat dengan bloggers di luar sana.
Banyak buah perkara buah
Buah di rimba jangan dimakan
Banyak tuah perkara tuah
Tuah menimpa saya harapkan
Salam perkenalan sekali lagi..