Wadah Muslimah Melayu

Friday, December 22, 2006

Adat penuh ke atas, syarak penuh ke bawah

Salam

Aceh meraih simpati seluruh dunia semasa dilanda tsunami. Pilihanraya di Aceh yang baru-baru ini juga meraih perhatian masyarakat dunia. Dikhabarkan 1000 pemerhati luar memantau pilihanraya itu. Namun yang lebih menarik perhatian saya ialah berita yang saya baca melalui e browse Harian Metro. Polis agama di sana menyerbu puluhan pusat kecantikan dan menahan 13 wanita kerana berpakaian menjolok mata. Dua lelaki juga ditangkap kerana menggunakan khidmat wanita untuk menggunting rambut di pusat tersebut. Walaubagaimanapun kesemua mereka dilepaskan selepas diberi nasihat. Hmmmm...menarik! Lebih menarik, minggu sudah, Agensi Syariah mengemukakan usul untuk memotong tangan pencuri! Subhanallah...Saya kebetulan sesudah maghrib membaca ayat mengenai arahan Allah ke atas pencuri lelaki dan pencuri perempuan di dalam surah Al Maidah. Ayat Quran tu! Asbabul nuzul ayat itu mestilah dikaji, tentu ada sebabnya mengapa Allah memerintahkan hukuman potong tangan. Walaubagaimanapun, ada golongan yang menentang atas alasan landasan sosial wilayah itu seharusnya diperbaiki dan dibangunkan terlebih dahulu barulah dilaksanakan hukum potong tangan. Di zaman pemerintahan Khalifah Umar, perlaksanaan hukuman ini ditangguhkan kerana terdapat golongan miskin yang mendominasi keadaan.

Fikiran saya berlegar sekitar negara tercinta Malaysia. Bolehkah perlaksanaan hukuman potong tangan dibuat? Di Segamat, banyak kejadian mencuri selepas banjir. Adakah mereka terdesak hingga mencuri? Yang dicuri kebanyakkannya dari kedai alatan telekomunikasi. Makanankah itu? Kejadian mencuri semasa bulan Ramadhan juga berlaku! Terdesakkah mereka? Jika boleh dibuat kajian, golongan manakah yang memonopoli kegiatan mencuri ini? Ada juga kes polis mencuri, tentera mencuri yang dilaporkan akhbar. Terdesakkah mereka? Kan mereka sudah ada mata pencarian tetap! Tidak cukupkah gaji mereka? Sebab tol atau minyak makin naik ke? Alamak, banyak pulak sangkut pautnya!

Apapun, sekiranya hukuman ini boleh dilaksanakan, alhamdulillah kerana hukum Allah mesti ditegakkan. Pensyarah Undang-Undang UKM, Dr. Abd. Halim El Muhammady, dalam penulisannya berpendapat kepentingan tentang pembentukan negara Islam ada kaitannya dengan perlaksanaan syariah, kerana syariah tidak dapat dilaksanakan tanpa ada negara dan kedaulatan politik. Tuntutan perlaksanaan syari‘ah adalah wajib ke atas Muslim, maka mewujudkan negara Islam adalah suatu yang wajib.Tetapi pendapat landasan sosial harus diperbaiki dan penerangan hukum Islam dibuat secara meluas perlulah diambil kira terlebih dahulu. Hmmmm..alahai...

Asam rumbia dibelah-belah
Buah separah di dalam raga
Dunia ikut firman Allah
Akhirat juga mendapat syurga

Thursday, December 21, 2006

Sekali air bah...

...bandar Segamat berubah wajah! Hujan lebat mula mencurah turun pada pukul 8.30 pagi 18/12/2006. Saya di SKJ memberi penerangan ringkas tentang undang-undang pendidikan. Selesai acara sekitar 11.30 pagi, hujan masih turun. Ahh tapi biasalah Segamat tahun lepas pun hujan turun tak berhenti hinggalah menjelang Idul Adha. Saya masih ingat pergi mencari daun palas di pasar Segamat untuk membuat ketupat pulut orang utara. Tapi mak cik penjual sayuran dan ulaman hanya menggeleng kepala dan mengomel perlahan 'Mana nak cari nak oii..asyik hujan je...' Itu setahun yang sudah. Maknanya, kalau tahun ni kami beraya di Segamat juga, rebus ketupat segeralah jawabnya.Dan memang ternyata, daun palas takkan ada di pasar Segamat tahun ni. Bandar Segamat macam laut!
Saya fikirkan hujan ini macam tahun sudah, hanya memberi kesan kepada kawasan yang sama. Tapi sungguh meleset, kawasan yang tidak diduga pun turut menjadi mangsa. Kg Jawa(ada kedai menjual soto yang lazat) dan Kg Abdullah khabarnya ditenggelam air hingga mencecah bumbung rumah! Alhamdulillah, Jementah masih ok walau hujan terus turun, kadang lebat kadang renyai. Bekalan air dah 3 hari terputus. Semalam saya ke bandar Jementah membeli sedozen air mineral 1.5l, 10 kilo beras, ikan bilis, tepung, bawang putih bawang merah, buat bekalan andai kecemasan. Saya juga terkenangkan koordinator saya yang terperangkap di Taman Sedeng Segamat. Jalan masuk semua tertutup. Pagi tadi dia menelefon saya memberitahu air tangki rumahnya dah habis dan air minuman tinggal dua botol...Saya simpati sangat-sangat tapi nak buat macammana, jalan ke Segamat terputus. Jangan kata jalan ke Segamat, nak ke UiTM pun sama.
Di padang bandar Jementah semalam, jadi tumpuan penduduk sekitar, dua helikopter mendarat. Pasukan penyelamat beruniform oren kemudiannya dilihat bersarapan pagi di kedai makan paling popular di sini.
Banyak yang saya nak tulis di sini tapi anak-anak yang buntu tak ada apa nak buat mengganggu kelancaran idea...Kami dah 3 hari mandi tak mandi! Semalam anak-anak mandi air hujan. Alhamdulillah, tak demam, mungkin air hujan yang telah turun 5 hari ni air yang sihat. Nantilah bila keadaan dah ok, saya akan menulis lagi. Tadi suami di Sg Mati Muar menelefon, katanya air dah mula naik! Ya Allah semoga dia dan penduduk sekitar selamat.

Buat Kak Zura di Taman Sedeng, maaf ya tak boleh ke sana, hanya mampu menelefon bertanya khabar

Anak Cina telinga bertindik
Badan kurus panjang lampai
Hendak melangkah kaki pendek
Hendak mencapai tangan tak sampai